rabies Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dari Kuching, Sarawak menjadi korban rabies terbaharu selepas meninggal dunia pagi semalam.

Ia menjadikan jumlah kes kematian rabies di Sarawak meningkat kepada 18 kes sejak wabak itu diumumkan pada 1 Julai 2017.

Hanya seorang mangsa sahaja yang selamat, iaitu seorang kanak-kanak yang kini berumur sembilan tahun, tetapi mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahkan kes tersebut berkata, lelaki berusia 26 tahun ini merupakan mangsa ketiga jangkitan penyakit ini akibat dicakar oleh anjing yang diambil/dipungut dari sumber yang tidak diketahui.

Status vaksinasi rabies haiwan-haiwan tersebut juga tidak diketahui.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan sekali lagi mengingatkan orang ramai khususnya di Sarawak agar tidak mengambil atau memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan tersebut telah dijangkiti virus rabies dan ia sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukkan gejala.

Beliau berkata, pencegahan paling mudah daripada jangkitan rabies adalah segera cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan liar dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Selepas itu, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

Negeri Sarawak masih belum bebas rabies.

Sejak 1 Julai 2017 hingga 30 Mei lalu, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 62 buah kawasan di 11 Bahagian sebagai kawasan jangkitan rabies.

Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan, maka perlu dipastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies di klinik haiwan terdekat.

Pemilik anjing juga diminta memastikan haiwan peliharaan berada dalam kawasan rumah dan tidak bercampur dengan anjing atau haiwan liar. – MalaysiaGazette