KUALA LUMPUR – Fesyen pakaian terkenal dunia, H&M yang baru-baru ini telah melancarkan koleksi terbaru mereka, ‘Love For All’ bagi menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Bagaimanapun, menurut H&M Malaysia, koleksi tersebut tidak akan berada di pasaran negara ini sebaliknya hanya di negara terpilih sahaja.

Malaysiakini melaporkan, Pengurus Komunikasi H&M Malaysia dan Singapura dalam maklum balas e mel hari ini mendedahkan jenama itu berada dalam 72 pasaran di seluruh dunia.

“Dengan pelbagai koleksi dilancar pada setiap musim bergantung kepada setiap pasaran tempatan untuk memilih koleksi untuk diperagakan,” katanya.

Perkara yang sama telah didedahkan oleh Pengarah Komunikasi dan Pemasaran Global H&M, Sara Spännar dalam kenyataan koleksi itu hanya boleh didapati di gedung terpilih seluruh dunia sepanjang Mei.

Dua hari lepas, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fatul Bari ada membangkitkan persoalan adakah H&M di negara ini juga terlibat dalam kempen bersama-sama dengan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi mendukung perjuangan LGBT.

“Saya nak tanya pihak @hmmalaysia . Adakah H&M Malaysia turut TERLIBAT dalam kempen LGBT seperti yg tertera di iG H&M induk & United Nation Free & Equal iG? iaitu hasil jualan 10% akan diberikan kpd gerakan UN Free & Equal utk mendokong perjuangan LGBT?,” ciapnya dalam Twitter.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) melancarkan kempen global UN Free & Equal pada Julai 2014 untuk mempromosikan kesedaran mengenai hak dan perlakuan adil bagi orang LGBT.

Bagaimanapun, sebelum ini beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) pernah tampil memberi jaminan pendirian kerajaan tetap tidak berganjak tidak sesekali menyokong LGBT di negara ini.

Dua minggu lepas, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya menegaskan demikian berhubung kenyataan pelakon Hollywood, George Clooney yang dikatakan memberi amaran kepada Malaysia dan Indonesia berhubung pelaksanaan undang-undang anti-LGBT seperti Brunei.

“Kita kena berpegang kepada prinsip kita sebagai negara Islam yang berdaulat ,” katanya. –MalaysiaGazette

HM