Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal melantik seorang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kanan bagi mewakili kementerian dan Jabatan Bomba Malaysia bagi prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perkara itu dinyatakan Menterinya, Zuraida Kamaruddin sambil memberitahu, DPP tersebut akan bertindak bebas daripada pegawai yang menjalankan inkues tersebut.

Langkah itu katanya, susulan penarikan diri peguam, Syazlin Mansor yang sebelum ini bertindak bagi pihak jabatan.

“Saya telah bertemu Tommy Thomas berkaitan pelantikan wakil perundangan untuk KPKT serta jabatan bomba bagi mengikuti prosiding inkues yang sedang berlangsung.

“Kami telah bersepakat bahawa atas dasar kepentingan bagi pihak kementerian dan jabatan bomba agar Timbalan Pendakwa Raya turut juga mewakili kedua-dua entiti tersebut untuk merungkai tentang bagaimana seorang anggota beruniform kami mendapat kecederaan yang membawa maut sewaktu bertugas.

“Peguam Negara juga telah secara sewajarnya memutuskan bahawa Timbalan Pendakwa Raya yang akan dilantik kelak akan menerima pakai kesemua bukti dan hujahan yang dikemukakan terdahulu dalam Mahkamah Koroner oleh Syazlin, termasuk keterangan Prof Dr Shahrom Abd Wahid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, pihaknya berharap agar tindakan tersebut dapat menghentikan spekulasi tidak bertanggungjawab dan supaya inkues itu dapat diteruskan dengan baik tanpa gangguan.

Tambah beliau, Pihaknya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Shazlin di atas khidmat profesional yang diberikan atas dasar pro bono sepanjang prosiding inkues yang lalu.

Isnin lalu, Syazlin yang mewakili KPKT dan jabatan bomba menarik diri daripada menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian Muhmmad Adib kerana dikatakan beliau berada di dalam kedudukan konflik kepentingan apabila bersetuju untuk mewakili KPKT dan jabatan bomba yang dalam masa sama turut mewakili keluarga Allahyarham Adib.- MalaysiaGazette