Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

GEORGETOWN – Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) menawarkan diskaun 10 peratus bagi kenderaan kelas satu sempena perayaan Aidilfitri.

Dalam kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), semua kenderaan kelas satu yang melalui JSAHMS Pulau Pinang akan menikmati diskaun tol pada 5 Jun, bermula 12 tengah malam sehingga 11.59 malam.

“Diskaun sebanyak 10 peratus ini adalah sebagai menghargai para pengguna serta memudahkan urusan balik kampung para pengguna JSAHMS,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, pihak JKSB turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengguna JSAHMS.

Bulan lepas, Menteri Kerja Raya Baru Bian mengumumkan 23 lebuh raya di negara ini akan memberikan diskaun tol sebanyak 10 hingga 33 peratus kepada pengguna kenderaan Kelas 1 pada hari pertama sambutan Aidilfitri.

Diskaun berkenaan akan berkuat kuasa bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam hari yang sama.