Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2019 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2019

PUTRAJAYA – Walaupun jelas dari raut wajah Tun Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan letih kerana bersalaman dengan lebih 50,000 pengunjung namun pasangan ini masih mampu tersenyum sepanjang Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri.

Masa sudah berganjak ke 5.15 petang namun pengunjung tidak surut, malah barisan di luar pintu Seri Perdana semakin panjang bagi pengunjung yang mahu bertemu dan bersalaman dengan Perdana Menteri dan dan isterinya.

Sudah beberapa kali pengacara majlis mengingatkan pengunjung waktu bersalaman hanya setakat 4.30 namun disambung sehingga 5 petang.

MGF05062019_RUMAH TERBUKA PM27
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad beramah mesra dengan kanak-kanak pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2019 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 05 JUN 2019

Kini sesi bertemu Perdana Menteri; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy dan Menteri Pelancongan Seni Dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi masih lagi berjalan.

Untuk seketika, Dr. Mahathir berehat namun kembali bertemu pengunjung yang rata-ratanya hanya mahu menatap wajah serta mengucapkan selamat hari raya kepada beliau.

Pengamal media yang membanjiri Seri Perdana juga tidak berganjak, sebaliknya menunggu dengan sabar menanti acara itu yang akan tamat jam 6 petang. – MalaysiaGazette