Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan ditemani isteri, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2019 di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 05 JUN 2019

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa tidak gembira berhubung kandungan manifesto yang telah direka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Ketika membicarakan kandungan berkaitan dengan lantikan politik yang dahulunya ditentang namun kini menjadi amalan, kata Tun Mahathir sebenarnya kandungan manifesto itu tidak ‘adil’.

Jelas beliau, ada segelintir ahli parti yang sebenarnya telah bekerja keras sehingga kemenangan mutlak menjadi realiti pada PRU lepas.

“Tidak adil sebenarnya untuk kita menghukum mana-mana yang telah membawa kemenangan kepada kita pada pilihan raya lepas.

“Lagipun dalam perkara lantikan Latheefa, beliau telah meletakan jawatan parti. Tidak ada konflik kepentingan dalam isu ini.

“Apa yang terkandung dalam manifesto adalah sesiapa yang bekerja dengan kita sebelum ini tidak boleh menjawat jawatan dalam kerajaan. Tetapi ini sungguh tidak adil.

“Tentulah kita tidak jadikan mereka Ketua Pengarah syarikat dan sebagainya. Tetapi mereka boleh menjadi ahli Lembaga Pengarah. Tetapi ada juga kes tertentu, sekiranya layak kita akan lakukan lantikan politik. Tidak salah,” katanya kepada media di Seri Perdana Perdana sebentar tadi.

Nada Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah berubah berhubung kandungan manifesto kerana sebelum ini beliau pernah mengatakan ianya bukan kitab suci yang perlu dipatuhi.

PH sebelum kemenangan PRu-14 ada melakukan aku janji dalam mementingkan kepentingan awam dan kebebasan SPRM, menyebut mengenai janji menerusi manifestonya bahawa SPRM perlu merujuk kepada Parlimen.

Bagaimanapun perkara tersebut tidak dilakukan, sebaliknya Tun Mahathir sendiri membuat keputusan berhubung lantikan tersebut.

Umum termasuk wakil kerajaan turut melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan lantikan Latheefa sebagai Pesurujahaya SPRM berkuatkuasa 1Jun oleh kerajaan PH.

Tun Mahathir juga mendedahkan beliau tidak melantik seseorang dalam kalangan SPRM sendiri seperti yang dicadangan oleh beberapa pihak kerana tidak mahu ianya di monopoli badan atau golongan tertentu.

“Kadang-kadang kita akan pilih seseorang dari luar. Kita tidak perlu selalunya melantik seseorang dari nombor 2 atau nombor 3 untuk ganti nombor 1. Tidak perlu dimonopoli,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tun Mahathir juga melenyapkan teka teki mengapakah Datuk Seri Mohd Shukri Abdull memendekan tempoh perkhidmatan beliau yang sepatutnya tamat tahun hadapan.

“Beliau selalu sangat tanya saya untuk bersara lebih awal. Bukan baru-baru ini sebaliknya selama se tahun ini beliau asyik tanya kebenaran untuk menamatkan tempoh perkhidmatannya.

“Beliau yang datang jumpa saya dan hendak berhenti. Saya pula ambil masa untuk cari pengganti sesuai, itu sahaja,” jelasnya. – MalaysiaGazette