CAPE TOWN – Seorang kanak-kanak lelaki maut diserang seekor harimau bintang di Taman Negara Kruger di Afrika Selatan.

Kejadian itu berlaku selepas haiwan tersebut berjaya melepaskan diri daripada kandangnya dan menyerang mangsa yang merupakan anak kepada pekerja taman tersebut.

Mangsa yang dikejarkan ke hospital disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.

Taman Negara Kruger dalam satu kenyataan berkata, serangan seumpama itu adalah ‘sangat jarang’ dan renjer terpaksa membunuh haiwan berkenaan.

Setakat ini punca sebenar kanak-kanak itu diserang tidak jelas.

Ini kerana, haiwan itu secara semula jadi takut kepada manusia dan selalunya tidak berada berhampiran dengan mereka.

“Di taman, haiwan berinteraksi dengan pelancong dan kakitangan dan kadang-kadang ia boleh mengakibatkan spesies seperti harimau menjadi biasa kepada orang ramai dan ketakutannya hilang.

“Para pengunjung taman mengikuti peraturan yang ketat supaya selamat daripada binatang, seperti mengunci pagar dan pengunjung berjalan dalam kumpulan, katanya sambil menambah bahawa harimau akan menjadi “sangat berani” untuk menyerang orang dewasa tetapi mungkin “mengambil kesempatan dengan seorang kanak-kanak,” menurut Ike Phaahla, jurucakap taman itu.

Tambahnya, pengunjung dan pekerja di taman ini diberi perlindungan sebanyak mungkin dengan kandang yang dikunci untuk memastikan haiwan-haiwan terkunci tetapi ia sentiasa mencari jalan untuk keluar.

“Kita perlu menghormatinya memandangkan ia adalah haiwan liar,” ujarnya. – MalaysiaGazette