KUALA LUMPUR – Bekas Hakim, Datuk Seri Gopal Sri Ram melontarkan cadangan perlu pindaan Perlembagaan Persekutuan seandainya badan perundangan mahu menghadkan kuasa seorang Perdana Menteri daripada membuat lantikan unilateral khasnya jawatan utama kerajaan.

Bercakap kepada portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini, Gopal berkata, sebenarnya setakat ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melanggar undang-undang kerana tidak berunding dengan kabinet mahupun Jawatankuasa Khas Parlimen.

Beliau mengulas pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilakukan oleh Mahathir tanpa perbincangan dengan barisan kabinet atau Jawatankuasa Khas Parlimen.

“Saya beri contoh seperti perlembagaan perlu dipinda bagi menetapkan bahawa mana-mana pelantikan adalah tidak terpakai melainkan ia disahkan oleh jawatankuasa khas di Dewan Rakyat,” katanya hari ini.

Gopal berkata, kajian teliti ke atas perlembagaan menunjukkan pelantikan seperti Ketua Audit Negara, Hakim Mahkamah Tinggi Sivil dan Pengerusi serta Anggota Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dibuat selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Bagaimanapun rundingan sama dengan mana-mana pihak, hatta bagi jawatan peguam negara, tidak disebut dalam perlembagaan,” ujarnya.

Ramai pihak bangkit termasuk dalam kalangan pimpinan serta penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentang pelantikan ini yang ternyata tidak senang apabila Mahathir membuat keputusan secara ‘bersendirian’ dan tidak berunding dengan yang lain terlebih dahulu.

Malah ada juga merasakan Latheefa yang dikatakan agak lantang selain daripada memiliki latar belakang sebagai pimpinan utama PKR sebenarnya tidak sepatutnya dilantik ke jawatan utama kerajaan seperti itu malah lantikan politik adalah sesuatu yang ditentang dalam perjuangan PH sebelum ini.

Media melaporkan telah wujud sebuah petisyen yang mendesak Latheefa berundur telah di tandatangani oleh lebih 1,000 orang sejak malam tadi Change.org.

Apa yang lebih mengejutkan, ada antaranya adalah pimpinan PH sendiri seperti Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew yang kemudian turut dikongsikan dalam laman sosoial Facebook beliau. –MalaysiaGazette