Mendiang Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan

KUALA LUMPUR –  Pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bahawa ada keputusan yang beliau tidak perlu terikat dengan kabinet dalam membuat keputusan memperlihatkan wajah sebenar Pakatan Harapan (PH).

Malah kenyataan Mahathir itu dilihat tidak selari dengan apa termaktub dalam manifesto PH mengenai lantikan politik.

Nampaknya ahli parti yang diberikan peluang menjawat jawatan tertentu dalam kerajaan adalah sesuatu telah dijangka.

Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M. Sambathan berkata, memang sejak awal lagi kemenangan besar oleh PH pada pada pilihan raya umum lalu hanya berasaskan pembohongan dan fitnah.

“Kerana itu juga banyak sangat apa yang dijanjikan itu tidak dapat dilaksanakan, walaupun janji selepas menang 100 hari semuanya boleh dilakukan oleh mereka.

“Hari ini menang, esok boleh laksana adalah sesuatu yang luar biasa apatah semuanya ‘tunggang terbalik’. Bagaimana anda tukar semuanya? Selama berpuluh tahun rakyat boleh hidup dengan inisiatif seperti itu, elok sahaja. Mereka mahu tukar, kemudian tidak mampu. Jadi lakukan pusingan U.

“Janji pendidikan percuma, api-apikan semua pelajar kita, kemudian buat u-turn kononnya apa yang dilaksanakan itu betul, kerajaan tidak mampu. Tol tidak boleh diberikan percuma. Jadi mengapa janji?

“Dulu segala macam fitnah dan kenyataan membidas lantikan politik walaupun adanya sangat berkelayakan, sekarang kamu kata ianya tidak adil jika ‘orang kamu’ tidak diberikan peluang? Jadi mengapa janji kepada rakyat?

“Kini terang lagi bersuluh kamu katakan, janji manifesto itu sekadar janji kerana belum tentu kamu akan menang, manifesto itu bukan ‘bible’ dan segala macam. Apakah begitu senang kamu bohongi rakyat seperti ini?

“Implikasinya, rakyat yang sedang tertekan dengan segala macam harapan punah dan kos kehidupan yang meningkat, ingat lagi apa yang PH cakap tentang GST dan SST? Apa sudah jadi?

“Inilah wajah sebenar kerajaan yang dahulunya pembangkang, cakap sekadar kuasa bukan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara tidak melahirkan rasa terkejutnya dengan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa berbincang terlebih dahulu dengan kabinet.

Selain kepimpinan PH melahirkan rasa terkejut dengan pelantikan itu, barisan pembangkang turut menyoal adakah lantikan tersebut mempunyai agenda tersembunyi bagi membantutkan usaha Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8.

Dilahirkan di Kerala, India, Latheefa adalah peguam dan aktivis hak asasi manusia melalui Lawyers for Liberty sejak tahun 2011 sebelum meletak jawatan awal minggu ini.

Jelas Sambathan lagi, rakyat tidak sepatutnya sangat ‘berharap’ apa yang dijanjikan sangat oleh kerajaan PH selepas ini kerana akan ada lebih banyak janji di mungkiri selepas ini.

“Jangan terkejut juga, tidak perlu juga bagi kenyataan berjela-jela mengkritik kerajaan sendiri, itu adalah kerja kami sebagai pembangkang, anda kini kerajaan. Janganlah terus main politik seperti ini, kaburi rakyat kononnya anda-anda di sana ada pejuang.

“Ada juga ahli politik yang kini berjawatan tinggi dan kanan kerajaan yang baru sahaja setahun jagung dalam politik, itulah kerajaan PH. Kerajaan bawah pentadbiran Tun Mahathir, beliau boleh berbuat apa sahaja,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Saya terkejut, lantikan seperti ini boleh cemarkan integriti SPRM – Akhbar Satar

Pengakuan Tun M lantik Latheefa tanpa rujuk Kabinet harus dibimbangi – Ramkarpal

Saya yang lantik Latheefa – Tun M