KUALA LUMPUR – Gaji tertunggak sekumpulan kakitangan Rayani Air telah dibayar sepenuhnya.

Perkara itu disahkan oleh pemilik penerbangan yang telah menggantung operasinya sejak April 2016 menerusi Facebook.

Jelas pemilik syarikat penerbangan sebelum ini dikenali berstatus patuh syariah itu pembayaran ini membuktikan tiada lagi tunggakan gaji bekas pekerjanya.

“Kepada semua bekas kakitangan Rayani Air yang telah mengemukakan permohonan bayaran gaji tertunggak, saya dengan rasa rendah diri memaklumkan bahawa bayaran tersebut telah dikreditkan ke akaun bank tuan/puan.

“Dengan ini, berdasarkan rekod kesemua gaji tertunggak bekas kakitangan Rayani Air telah diselesaikan,” katanya beserta ucapan Selamat Hari Raya pada 1 Syawal yang lalu.

Syarikat penerbangan yang sebelum ini menjadi yang pertama berstatus patuh syariah memulakan operasinya pada Disember 2015.

Selepas Ravi mengumumkan menggantung operasi syarikatnya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selepas siasatan menyeluruh terhdap syarikat dan audit dilakukan.

Siasatan yang dibuat mendapati Rayani Air melanggar syarat ASL serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah.

Pembatalan itu telah menyebabkan banyak penumpang tidak boleh meneruskan penerbangan.

Mavcom berkata, pihaknya menerima sebanyak 737 aduan berkaitan Rayani Air dengan 98 peratus aduan melibatkan permohonan pembayaran balik tiket penerbangan disebabkan syarikat itu sudah tidak beroperasi.

Pada 18 April 2017, 50 peratus penumpang Rayani Air yang menempah tiket menggunakan kad kredit telah mendapat bayaran semula atas kerjasama Bank Negara Malaysia. -MalaysiaGazette