Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) dan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya membazir masa dan wang sahaja apabila keputusan yang dibuat oleh mereka tidak dihormati.

Ini kerana, dalam JKKMAR pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti melalui PSC supaya lebih telus.

Bagaimanapun, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah keputusan mutlak seorang sahaja tanpa dirujuk kepada jawatankuasa, malah Jemaah Menteri pun tidak diberitahu.

kenyataan parlimen
Kenyataan berhubung penubuhan JKKMAR dan PSC.

“Jadi, langkah kerajaan PH untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah adalah membazir masa dan wang sahaja kerana keputusan-keputusan mereka tidak dihormati. Malah langsung tidak dihiraukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Presiden MCA itu juga mendakwa Jemaah menteri hari ini juga boleh dikatakan sebagai Pak Turut setelah para pemimpin PH yang memegang jawatan Menteri hanya membisu dan seolah-olah lupa Janji 14 Buku Harapan kerana terpaksa akur dengan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apakah Majlis Presiden PH cuma berfungsi sebagai “rubber stamp”?

“Saya masih ingat Lim Guan Eng dan Mat Sabu pernah berkata sebelum PRU14, jika PH menawan Putrajaya, Tun Mahathir tidak boleh bermaharajalela sebagai PM, semua keputusan mesti direstui oleh parti-parti komponen PH.

“Kini, apa sudah jadi? Boleh minta pencerahan Guan Eng dan Mat Sabu?,” soal Ka Siong. – MalaysiaGazette