KUALA LUMPUR – Tanjak menjadi aksesori kepala bagi masyarakat di Nusantara khususnya orang Melayu yang mempunyai pelbagai gaya tanjak yang mana ia sinonim dengan pemakaian destar dan tengkolok.
Selalunya pemakaian tanjak era kini dikait rapat dengan pejuang-pejuang kebudayaan Nusantara dan peminat-peminat seni kreatif Melayu tradisional.
Namun ia berbeza apabila sebuah band metal dari Petaling Jaya yang dikenali sebagai Farasu menjadikan pemakaian tanjak sebagai satu imej dan menjadi identiti baharu setiap anggota band berkenaan.
Ia bukan sekadar untuk ‘aksi poster’ tetapi mereka memakainya dalam setiap persembahan pentas sama ada di dalam mahupun luar negara.
Menurut salah seorang anggotanya, Mustafa Kamal Abdul Rahman, idea itu tercetus selepas melihat tanjak adalah satu identiti penting buat orang Melayu di Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia, Singapura, Selatan Thailand, Sumatera dan Kepulauan Riau, Brunai, Filipina).
Seiring dengan perjuangan muzik metal dengan gabungan elemen muzik Nusantara yang dinamai sebagai Nusantara Metal.
Lebih mengujakan setelah Farasu mengadakan persembahan di China dan Taiwan pada 2016 dan Jepun (2018), mereka tampil dengan bertanjak.
Imej kemelayuan ini telah menjadi perhatian khusus oleh peminat-peminat muzik di kedua-dua negara yang menampilkan kelainan baharu dan secara tidak langsung Farasu telah mengetengahkan imej orang Melayu.
Selama ini masyarakat luar negara mengenali secara umum tentang budaya Malaysia tetapi penonjolan imej bertanjak daripada Farasu mendedahkan salah satu warisan kebudayaan Melayu selain mempersembahkan muzik metal gaya Nusantara.
Respon sangat positif daripada peminat-peminat muzik di China, Taiwan dan Jepun yang terkenal dengan sifat menghargai kesenian dan kebudayaan.
Kemunculan Farasu dengan album baharu pada 2018 iaitu ‘Sulalatus Salatin’ secara langsung memperkenalkan bentuk baharu muzik metal.
Jika di Taiwan, band Chithonic menjadi perintis kepada kemunculan ‘Oriental Metal’ iaitu muzik metal yang bergabung dengan elemen-elemen muzik China.
Begitu juga dengan istilah-istilah muzik metal mengikut aspirasi barat seperti Swedish Metal, Gotenburg Sound, Norwadic Black Metal atau Heavy Metal British, Farasu mengetengahkan istilah ‘Nusantara Metal’.
Keghairahan Farasu memperkenalkan identiti bertanjak dalam kelompok muzik metal ini menjadi perhatian sebahagian besar peminat band ini.
Ia memberi inspirasi dan ‘keberanian’ baru buat golongan Melayu muda dan belia juga metal head untuk bertanjak sebagai suatu gaya identiti tanpa segan silu.
Tambahan mereka lagi, jika orang Melayu sendiri rasa malu memakai tanjak bermaksud orang-orang berperasaan begitu berada dalam kelompok buta sejarah dan tidak mendalami kebudayaan kesenian Melayu.
Selain daripada bahasa, lagu dan baju tradisi (baju melayu, baju kebaya, baju kurung dan songkok) tanjak antara warisan kebudayaan Melayu yang masih boleh dipertahankan dan dipakai bukan setakat untuk acara-acara rasmi istana, kebudayaan atau majlis perkahwinan semata-mata. – MalaysiaGazette