P. Waytha Moorthy menghadiri taklimat di Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Kelantan.

KOTA BHARU – Dua kes daripada tiga kematian yang melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang dekat sini disahkan berpunca daripada radang paru-paru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy berkata bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa mendapati punca kematian adalah radang paru-paru namun punca sebenar pneumonia yang dikesan setakat ini belum diketahui.

Beliau berkata penempatan yang jauh selain tiada komunikasi dengan pihak penghulu dan polis kerana jarak perjalanan yang jauh menyebabkan maklumat kematian lambat diterima.

“Namun begitu punca kematian sebenar akan disiasat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Kelantan, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Waytha Moorthy berkata jumlah yang dirawat kini adalah seramai 83 orang iaitu 37 orang diberikan rawatan pesakit luar, 32 orang pesakit dirawat di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai (10), seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan tiga orang di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA).

“Jabatan Kesihatan kini sudah mengambil langkah pencegahan iaitu membuat carian kes secara aktif, pengasingan selain melakukan rawatan di hospital kepada yang terjejas.

“Daripada jumlah 83 yang dikesan ada dua kes yang tenat iaitu melibatkan seorang wanita berusia 36 tahun di HKK dan seorang kanak-kanak berusia 3 tahun di HRPZII. Semua yang lain dilaporkan sudah menunjukkan tanda pulih,” katanya.

Waytha Moorthy berkata Jabatan Kesihatan sudah menghantar pegawai perubatan ke kawasan berkenaan selain menubuhkan satu pasukan bertindak antara agensi di Gua Musang untuk tindakan lanjut.

— BERNAMA