Pengurus Pemasaran Malaysia Gazette, Zairul Ahsorori (kiri) dan Wartawan Malaysia Gazette, Zazrina Zainuddin (dua kiri) mendengar sesuatu yang diperkatakan Zaiton Mat San 45 (kanan) antara salah satu keluarga susah ketika menyampaikan sumbangan bantuan beras BERNAS sempena Program Ziarah Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kos hidup yang tinggi memaksa 12 beranak tinggal dalam keadaan sesak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak dua bilik di sini sejak 21 tahun lalu.

Namun bagi pasangan Mohd. Yusof Ridwan, 51, dan Zaiton Mat Sam, 45, mereka tetap bersyukur dan rasa selesa biarpun menjalani kehidupan dalam suasana padat dan berhimpit.

Kata Zaiton yang merupakan tukang urut tradisional sambilan, kekangan kewangan membuatkan mereka terpaksa tinggal dalam rumah yang sempit dengan ahli keluarga yang ramai.

Jelasnya, rumah kecil itu didiami bersama suami serta 10 anak yang masih bersekolah berusia antara enam tahun hingga awal 20-an.

“Jika orang tanya selesa atau tidak, jawapan saya tetap rasa selesa kerana kami bertumpang teduh di sini. Kebiasaan anak-anak yang masih kecil tidur di dalam bilik dan yang meningkat remaja tidur di ruang tamu.

“Saya memiliki 12 anak namun seorang tinggal berasingan setelah berkahwin dan seorang lagi tinggal dengan neneknya di kawasan berdekatan.

“Suami pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pendapatan saya pula tidak menentu kerana bergantung kepada permintaan pelanggan iaitu dibayar RM80 untuk satu sesi urutan tradisional dan lepas bersalin.

“Gaji saya dan suami jika diikutkan memang tidak mencukupi untuk menampung makan minum kami dan dua orang anaknya bekerja ada juga menghulurkan wang bulanan namun tidak menentu dan mengikut kemampuan mereka,” katanya ketika ditemui sempena Program Sumbangan MalaysiaGazette dan Bernas di rumahnya di sini baru-baru ini.

MGF28052019_Ziarah MG_04
Temubual bersama Zaiton Mat San, 45 salah seorang penerima sumbangan bantuan beras BERNAS sempena Program Ziarah Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 MEI 2019

Zaiton bagaimanapun memberitahu dia dan keluarga bersyukur kerana bayaran bil air dan elektrik ditanggung oleh Baitulmal serta mendapat bantuan kewangan RM400 yang sedikit banyak dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan.

Menurutnya, kos harian membeli barangan basah sekitar RM60 sehari dengan menjadi Pasar Pudu sebagai tempat membeli-belah kerana harga barang yang masih berpatutan.

Katanya lagi, dalam sebulan dia dan keluarga menggunakan beras sebanyak 50 kilogram dan menjadikan menu ikan yang disediakan dalam kuantiti yang banyak untuk berjimat-cermat.

“Aidilfitri yang baru berlalu kami sambut dalam keadaan ala kadar sahaja dan beraya di Kuala Lumpur.

“Kami tidak balik ke kampung masing-masing walaupun saya berasal dari Pulau Pinang dan suami dari Negeri Sembilan,” katanya sambil memberitahu rumah itu bertuah kerana memenangi hiasan dekorasi percuma melalui undian sebelum ini. – MalaysiaGazette