Intan Rahmah

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berhubung tegurannya mengenai isu LGBT, baru-baru ini.

Ketua Wiranita Putra, Intan Rahmah Ali berkata, teguran Rafidah Hanim itu jelas dibuat atas kesedaran beliau sebagai seorang ibu yang bimbang dengan aktiviti LGBT akan mempengaruhi anak muda.

“Wiranita Putra mendesak agar Saifuddin segera membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Prof Rafidah.

“Adakah Saifuddin tidak bimbang jika anak-anak beliau terpengaruh dan mengamalkan gaya hidup LGBT?

“Wiranita Putra menasihatkan Saifuddin agar bersikap matang dan menerima teguran dengan berlapang dada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Intan Rahmah juga kesal dengan sikap angkuh dan tidak matang yang di tunjukkan oleh Saifuddin terhadap teguran yang dibuat oleh Prof Rafidan Hanim mengenai isu LGBT di laman Twiiternya.

“Wiranita Putra berpendapat sebagai seorang menteri, Saifuddin sepatutnya menerima teguran Prof Rafidah dengan bersikap terbuka dan berlapang dada.

“Teguran yang dibuat oleh Prof Rafidah itu jelas ada asasnya kerana ciapan yang dibuat oleh individu bernama Numan Afifi itu jelas menyokong aktiviti LGBT yang diharamkan oleh Islam.

“Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat kenyataan bahawa LGBT tidak diterima di negara ini,” katanya.

Katanya, tindakan Saifuddin juga dilihat seolah-olah menyokong apa yang diciap oleh Numan Afifi.

“Adakah Saifuddin tidak merasakan bahawa apa yang ditweet oleh Numan itu menyinggung perasaan umat Islam?

Adakah Saifuddin mahu mempromosi LGBT dan Islam liberal?,” katanya lagi. – MalaysiaGazette