Polis Diraja Malaysia

KOTA BHARU – Pencarian lokasi 12 mayat Orang Asli suku Batek, yang didakwa dikebumikan di dalam hutan tanpa membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa, dijangka memakan masa, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Hasanuddin berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua 12 mangsa dikatakan meninggal dunia akibat ‘penyakit misteri’ sejak sebulan lepas, namun tidak dikebumikan di Kampung Kuala Koh dan dibawa keluar dari kawasan perkampungan tersebut, oleh anggota keluarga mereka.

“Apa yang diketahui mayat berkenaan dikebumikan atau ditempatkan di kawasan lain jauh ke dalam hutan, namun polis bersama agensi lain akan berusaha untuk mengesan lokasi kubur berkenaan.

“Operasi sebegini adalah sukar dan sudah pasti memakan masa yang panjang, kerana mayat dikatakan sudah dibawa keluar jauh daripada kampung oleh ahli keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Kementerian Kesihatan, dijangka memulakan operasi pencarian itu dalam masa terdekat.

Katanya, polis akan cuba mengenal pasti lokasi mayat dikebumikan terlebih dahulu, sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk menggali semula kubur mangsa.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan sebagai berkata kementeriannya bersama agensi lain akan cuba mengenal pasti lokasi 12 mayat Orang Asli yang dikatakan dikebumikan selepas mati akibat penyakit yang tidak dapat dipastikan, untuk menjalankan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum, selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas. – Bernama