Kulasegaran
M. Kulasegaran. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Tangkapan ikan secara tidak sah oleh sindiket nelayan yang semakin membimbangkan merugikan bukan sahaja Malaysia malah seluruh dunia.

Menurut Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran, dianggarkan sektor perikanan global mengalami kerugian sehingga RM97.4 bilion akibat tindakan tidak bertanggungjawab ini.

Komited menangani ancaman sektor perikanan ini, kerajaan hari ini mengadakan taklimat Ahli Parlimen untuk Tindakan Global terhadap Perlindungan Laut.

“Malaysia berusaha untuk menangani Unreported and Unregulated (IUU) Fishing (penangkapan ikan secara tidak sah). Ini tidak boleh dilakukan tanpa kerjasama kerajaan dan agensi yang beroperasi di bawahnya, khususnya di negara-negara di rantau ASEAN.

“Taklimat mengenai perlindungan lautan kita adalah permulaan untuk banyak lagi taklimat antara kementerian dan agensi untuk memulakan dialog dan perbincangan untuk menentukan kerjasama,” katanya menerusi ucapan yang dibacakan oleh Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Taklimat itu turut dihadiri wakil pegawai daripada Maritim.

Kulasegaran berharap semua Ahli Parlimen dan Senator akan mengambil peluang menyertai taklimat seumpama ini pada masa akan datang, sekaligus menjadikan ia platform untuk melindungi laut dan sektor perikanan. – MalaysiaGazette