Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Hampir 73,000 individu ditahan di seluruh negara sejak awal Januari hingga 16 Mei lepas kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata,  daripada 72,891 individu yang ditahan, seramai 67,887 adalah rakyat tempatan manakala 5,004 orang merupakan warga asing.

Beliau berkata, daripada jumlah itu juga, sejumlah 34,342 orang disahkan positif ujian air kencing, memiliki dadah (27,488 orang) manakala menyimpan bekalan dadah seramai 11,061 orang.

“Selain itu, polis turut merampas dadah sintetik iaitu syabu seberat 3,549 kilogram (kg), ketamin seberat 121.10kg, pil Erimin 5 seberat 22.30kg, pil yaba seberat 41.33kg dan pil ekstasi seberat 24.20kg.

“Turut dirampas ialah dadah tradisional iaitu ganja seberat 320.21kg dan heroin seberat 334.08kg,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keseluruhan dadah yang dirampas untuk seluruh negara dalam tempoh itu dianggarkan bernilai RM204.77 juta.

Kamarulzaman berkata pihaknya turut menyita harta yang dianggarkan bernilai RM34.93 juta manakala nilai harta yang dilucutkan RM0.24 juta bagi keseluruhan sindiket yang dikesan itu.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) sentiasa menjalinkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa dadah antarabangsa dalam usaha membanteras penyeludupan dadah rentas sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette