Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli-ahli Pas agar tidak terlibat dalam penyebaran video seks sejenis mirip seorang menteri Pakatan Harapan (PH).

“Pas menggesa ahli dan kepimpinanya agar tidak terlibat dalam penyebaran video hanyir yang sedang diperkatakan umum.

“Sebagai seorang Muslim sikap kita tetap konsisten dengan apa yang syarak pandu, agar tidak membuat tuduhan (qazaf) melainkan kita melihatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim turut menggesa agar Mahkamah Syariah Sabah menghukum individu tersebut yang mengaku melakukan perbuatan itu kepada umum.

“Dengan pengakuan individu tertentu yang membuat pengakuan, maka Pas menggesa Mahkamah Syariah Sabah menghukum individu tersebut atas pengakuan beliau,” katanya lagi.

Awal pagi ini muncul video berdurasi 34 saat, yang menampilkan seorang lelaki bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan bersumpah bahawa beliaulah individu yang terlibat dalam perbuatan sumbang itu.

Beliau yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin turut mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Ketika itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan sedang berlangsung. – MalaysiaGazette