Maybank, kumpulan perbankan yang terbesar di Malaysia dari segi aset, menjangkakan transaksi perbankan mudah alih bank itu akan melebihi RM40 bilion pada tahun ini berbanding hanya RM25 bilion yang direkodkan pada tahun lepas. 
Maybank

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Bhd (Maybank) menjelaskan dokumen nasihat pemindahan dana yang disebarkan dalam talian, berhubung dakwaan membabitkan pemindahan wang kepada seorang menteri persekutuan mengguna akaun bank itu, adalah palsu.

“Dokumen nasihat pemindahan dana’ itu yang disebarkan dalam talian tidak dikeluarkan oleh bank ini dan nombor akaun Maybank yang dinyatakan pada dokumen itu adalah tidak sah,” kata jurucakap Maybank hari ini semasa dihubungi Bernama untuk menjelaskan perkara itu.

“Oleh kerana dokumen yang mengandungi nama Maybank itu kelihatan seperti dokumen yang telah dipalsukan, Maybank akan mengambil tindakan perlu untuk melindungi kepentingannya,” kata jurucakap itu.

Salinan dokumen itu tular di laman sosial, mendakwa sejumlah wang milik UEM Group Bhd telah dipindahkan ke akaun menteri itu menerusi akaun Maybank.

Semalam, UEM Group Bhd turut menafikan dakwaan bahawa ia terlibat dalam pemindahan wang itu.

“UEM Group Bhd ingin menyatakan bahawa ia tidak memiliki akaun bank di cawangan utama Maybank KL, dan juga tidak memiliki akaun dengan nombor akaun seperti didakwa oleh pelbagai laman media sosial,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Untuk membersihkan namanya, UEM Group telah membuat laporan polis dan bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa relevan, katanya.

— BERNAMA