DUBAI – Dua buah kapal tangki disyaki diserang di Teluk Oman dan krewnya telah dibawa keluar, kata sumber perkapalan hari ini.

Insiden tersebut berlaku sebulan selepas insiden yang sama membabitkan serangan empat buah kapal tangki.

United Kingdom Maritime Trade Operations yang merupakan sebahagian daripada Tentera Laut Diraja berkata, ia sedar insiden yang berlaku di Teluk Oman itu, lapor Reuters.

“UK dan rakannya kini sedang menyiasat,” kata kumpulan itu tanpa mengulas lanjut.

Harga minyak meningkat sebanyak 4 peratus selepas laporan peningkatan ketegangan di Teluk yang telah diperketatkan berikutan pertelingkahan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Kawasan tersebut berhampiran Selat Hormuz, laluan air strategik utama yang mana seperlima minyak global dari pengeluar di Timur Tengah melaluinya.

Krew dua kapal tangki, Front Altair yang didaftar di Marshal Islands dan Kokuka Courageous yang didaftar di Panama telah dikeluarkan dan berada dalam keadaan selamat, kata sumber empat perkapalan dan perdagangan.

Setakat ini tiada pengesahan daripada pengendali kapal itu, pihak berkuasa Oman atau Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana empat kapal yang diserang pada bulan lalu berada di perairan negara tersebut.

Akhbar perkapalan, Tradewinds yang memetik sumber industri melaporkan bahawa sebuah kapal tangki milik syarikat Norway, Frontline terkena torpedo di pesisir Fujairah, UAE.

Frontline tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan.

Seorang broker perkapalan berkata, terdapat letupan ‘yang disyaki daripada serangan luar’ yang mungkin membabitkan periuk api magnatik ke atas Kokuka.

“Semua krew selamat dan meninggalkan kapal dan diambil kapal Costal Ace. Kokuka Courageous hanyut tanpa krew di dalamnya,” kata sumber itu.

Seorang lagi sumber berkata, Front Altair melaporkan kebakaran disebabkan ‘serangan permukaan’ dan krew telah diselamatkan oleh kapal yang berada berhampiran tempat kejadian, Hyundai Dubai.

UAE berkata, serangan empat buah kapal di pesisir Fujairah, hab penyimpanan bahan bakar utama, pada 12 Mei lalu berkemungkinan besar disebabkan oleh periuk api Limpet.

Envoi Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyalahkan Iran. Tehran menafikan sebarang pembabitan. – Agensi