Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman (hadapan, tiga kanan) bersama Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek (hadapan, dua kiri) beramah mesra dengan Penolong Pengurus Pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt, Mohd Hamee Mohtar (hadapan, tiga kiri) dan pemain pasukan hoki tersebut selepas sesi penyerahan jersi pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pasukan Hoki Remaja TNB Sempena TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2019 di Kompleks Sukan TNB, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Penyandang juara, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Thunderbolt menyasarkan dapat mengekalkan kejuaraan berganda kejohanan TNB-Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB-LHRM) 2019 bermula 21 Jun ini.

Jurulatihnya, Wan Roslan Wan Abdul Rahman berkata, keyakinan itu bersandarkan bakal turun dengan hampir separuh skuad yang sama musim lalu.

Menurutnya, pada masa sama anak buahnya turut mendapat khidmat tiga pemain kebangsaan diketuai ‘budak ajaib’, Akhimullah Anuar Esook.

Akhimullah, 19, mencipta sensasi di Buenos Aires apabila 22 jaringannya menjulang skuad remaja negara memenangi emas di temasya berkenaan.

Dua pemain lain adalah rakan sepasukan Akhimullah yang juga penjaring terbanyak Sukan Olimpik Belia 2018 iaitu Arif Syafie Ishak dan Noor Firdaus Rosdi.

“Sudah tentu pengalaman mereka dalam skuad kebangsaan ditagih dan menjadi kelebihan kepada kami.

“Namun kami perlu bersedia kehilangan jika bertembung dengan tugasan negara dan pemain lain mampu menjadi galang ganti.

“Apatah lagi musim ini format kejohanan agak lama kerana perlu mengharungi 13 perlawanan kerana hanya terdapat Divisyen Satu sahaja,” katanya.

MGF14062019_LIGA HOKI TNB07
Jurulatih Pasukan Hoki SSTMI Thunderbolts, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pasukan Hoki Remaja TNB Sempena TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2019 di Kompleks Sukan TNB, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 JUN 2019.

Dia ditemui media selepas majlis memperkenalkan empat pasukan sekolah angkat hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk tiga pasukan lain iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Thunderbolts, Anderson Thunderbolts dan Akademi Hoki Pahang – Majlis Sukan Pahang (AHP-MSP) Thunderbolts di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek.

Musim ini, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memperkenalkan format baharu LHRM 2019 apabila hanya Divisyen Satu dipertandingkan melibatkan 14 pasukan lelaki dan sembilan pasukan wanita bagi merebut gelaran juara.

Sembilan pasukan remaja lelaki itu adalah pasukan Divisyen Satu musim lalu manakala lima lagi slot akan diisi menerusi saingan kalah mati melibatkan 10 pasukan Disvisyen Dua, musim lalu.

Susulan ketiadaan saingan bagi Divisyen Dua, musim ini, sebanyak 10 pasukan tidak layak beraksi dalam Divisyen Satu bersaing dalam peringkat kalah mati yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini pada hari ini dan 16 Jun ini.

Aksi final LHRM 2019 akan berlangsung pada 3 Ogos ini.
– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast