Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui beliau sudah berhubung dengan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sudah menjelaskan apa berlaku berkaitan video seks yang dikaitkan dengan dirinya kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Kami bercakap dan saya jelaskan kepada beliau. Itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Akrab Aidilfitri Masjid Bukit Antarabangsa 2019 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pesanan dan nasihat yang diberikan Anwar selepas timbul isu kontroversi berkaitan video seks itu.

Mohamed Azmin yang Ahli Parlimen Bukit Antarabang itu menambah, apa yang penting ketika ini, penduduk di parlimen itu tahu siapa sebenar dirinya.

Katanya, beliau sudah lama bersama mereka dan amat terharu dengan sokongan yang diberikan ketika dilanda kontroversi.

“Saya sangat gembira kerana ramai yang datang jumpa dan tunjuk sokongan. Ada yang datang rumah dan saya ucap terima kasih.

“Saya akan terus bantu rakyat kerana kerajaan Pakatan Harapan telah mendapat mandat yang besar dalam pilihan raya lalu.

“Sudah lama kita tunggu perubahan ini dan tugas kerajaan melaksana polisi baharu, pendekatan baharu dan nilai politik yang perlu dipertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette