Acap atau nama sebenarnya Mohammad Ashraf, yang hilang sejak bulan lepas semasa menyertai Gopeng Ultra Trail 2019.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan serpihan tulang yang ditemui di Gua Kandu Gopeng pada 20 April lalu bukan milik Mohamad Ashraf Hassan, 29, yang hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail, 23 Mac lalu.

Pengesahan itu hasil laporan Ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang diterima dari Jabatan Kimia Malaysia yang mendapati serpihan tulang itu tidak sepadan dengan DNA ibu dan abang Mohamad Ashraf.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, melalui bedah siasat dan ujian DNA dijalankan mengesahkan bahawa serpihan tulang ditemui itu bukan milik Mohamad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap.

“DNA tulang ditemui itu tidak sepadan dengan DNA Siti Maznah Khamis iaitu ibu dan juga Mohamad Azlan Hassan iaitu abang kandung Acap, DNA tulang itu juga tidak terdapat di dalam data Jabatan Kimia Malaysia.

“Pemilik sebenar tulang itu tidak dapat dikenal pasti selepas semakan mendapati ia tiada dalam data Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataan di sini semalm.

Razarudin berkata, hasil analisa sampel tanah iaitu warna tanah pada serpihan tulang dan warna tanah di lokasi penemuan mendapati ianya tidak sama sekali gus mengesahkan serpihan tulang itu bukan berasal dari lokasi penemuan.

“Daripada semua penelitian dan laporan berkenaan, polis mendapati serpihan tulang ditemui itu bukan milik Acap dan tidak diketahui pemiliknya serta bukan berasal dari lokasi penemuan iaitu Gua Kandu, Gopeng,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, orang ramai serta penduduk kampung yang melakukan pencarian Acap menemui serpihan tulang dipercayai tulang lama di dalam Gua Kandu, Gopeng, kira-kira jam 1 tengah hari .

Serpihan membabitkan satu tulang panjang seakan tulang betis dan lapan serpihan berukuran lebih kurang 15 sentimeter ke 20 sentimeter yang ditemui itu kemudiannya diambil untuk ujian pengesahan.

Acap dilaporkan hilang pada 24 Mac apabila pihak penganjur dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemuinya selepas acara tamat pada 2 petang, 23 Mac lalu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pelbagai pihak termasuk bomba, polis, sukarelawan, rakan dan keluarga dihentikan pada 17 April lalu selepas hampir sebulan kehilangannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast