KUALA LUMPUR – Prof. Dr. Raha Abdul Rahim dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkuatkuasa esok hingga 15 Jun 2022.
Pelantikan Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan itu adalah berdasarkan kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaiannya semasa memegang jawatan pentadbiran utama itu.
Jurucakap Kementerian Pendidikan berkata, Raha juga cemerlang dalam jawatan sebelumnya sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
“Raha adalah wanita pertama dilantik untuk menerajui UTeM. Kementerian percaya beliau akan dapat memacu kecemerlangan universiti ini ke tahap lebih tinggi,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.
Raha, 56, yang berasal dari Johor memiliki Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.
Seterusnya pada tahun 1990, melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di universiti sama dan memperoleh Ijazah Kedoktoran pada 1995 dari Strathclyde University, United Kingdom.
Dari segi pengalaman pentadbiran peringkat kementerian dan universiti, selain dari jawatan pengarah di Jabatan Pendidikan Tinggi, beliau juga pernah menyandang jawatan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM.
Beliau telah terlibat aktif dalam penulisan lebih 130 jurnal akademik, pelbagai konferens dan seminar serta aktiviti konsultansi bagi beberapa agensi kerajaan dan Industri Bioteknologi.
Peringkat antarabangsa pula, beliau merupakan ahli American Society for Microbiology dan Ketua Setiausaha Asian Federation of Societies for Lactic Acid Bacteria.
Selain itu, Raha turut mempunyai hubungan baik dan jaringan kolaborasi yang luas di peringkat nasional dan antarabangsa sehingga berjaya membawa pelbagai geran projek penyelidikan semasa berkhidmat di UPM.
Susulan dari sumbangan kepada universiti, beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UPM pada 2009, 2005, 2004 dan 2002; Anugerah Penyelidik Cemerlang, Institut Biosains UPM (2007), selain turut meraih pelbagai pingat pencapaian bagi projek Mikrobiologi dan Biologi Molekul.
Justeru, Kementerian Pendidikan yakin pelantikan itu dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangannya kepada kecemerlangan UTeM dalam mencapai visi dan misi sebagai Universiti Teknikal ternama.
Kementerian juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Prof. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin atas khidmat bakti dan kepimpinannya sepanjang memegang jawatan Naib Canselor UTeM mulai 16 Jun 2014 hingga hari ini. – MalaysiaGazette