Norman Abdul Halim (tengah).

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim menafikan sekeras-kerasnya beliau mengenali Haziq Abdullah Abdul Aziz yang telah mengaku salah seorang daripada dua individu dalam video intim mirip seorang menteri yang tersebar awal minggu lalu.

Beliau menjelaskan gambar berkumpulan dirinya bersama lelaki itu yang sedang tular hanyalah gambar ‘secara spontan’ sebelum mereka meninggalkan majlis.

“Ingin saya jelaskan juga bahawa saya tidak mengenali Haziq Aziz. Saya, isteri dan anak saya telah dipelawa oleh pegawai kanan dari pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menonton filem Avengers sebelum bulan Ramadan lalu.

“Gambar kami beramai-ramai selepas menonton filem tersebut adalah secara spontan sebelum semua bersurai pada malam tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

norman

Gambar tular yang mengaitkan Norman KRU dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz.Norman turut menafikan penglibatan beliau dalam penerbitan klip video intim dikaitkan dengan seorang menteri yang tular beberapa hari lepas.

Menurut Norman, beliau berasa sedih dan terkejut apabila mendapat tahu blog politik tersebut mengaitkan dirinya dengan penerbitan video berkenaan.

“Saya amat terkejut dan sedih apabila beberapa kenalan saya memberi pautan ke sebuah blog politik yang mengaitkan saya dengan beberapa tokoh politik kononnya ada konspirasi menerbitkan video lucah yang dikatakan melibatkan seorang menteri kanan.

“Secara peribadi saya tidak pernah menonton video tersebut dan adalah tidak selayaknya saya berikan komen yang terlalu mendalam.

“Dengan itu, saya juga tidak dapat memberi pendapat sama ada video itu tulen atau diterbitkan menggunakan teknologi penerbitan visual,” katanya.

Mengulas mengenai video tular itu, Norman mengakui dari sudut teknikal dan teknologi terkini, penghasilan sesuatu video yang tidak melibatkan pelakon sebenar boleh diterbitkan untuk penjanaan imej yang realistik.

Jelasnya, selain penggunaan kesan khas visual melalui perisian komputer, penggunaan ‘body double’, ‘special effects makeup’ atau solekan bagi menyerupai wajah individu atau pelakon boleh digunakan.

“Sekiranya durasi klip video tersebut pendek, gambar atau visual yang gelap atau samar-samar, visual beresolusi rendah dan disunting dari pelbagai sudut kamera, ia lebih mudah untuk menghasilkan visual meyakinkan menggunakan teknik yang saya sebutkan.

“Namun, sekiranya sesebuah video tersebut menggunakan teknik-teknik saya sebutkan tadi, ia akan melibatkan ramai pihak dan bukanlah mudah untuk merahsiakan sesuatu perkara seperti ini khususnya melibatkan tokoh berprofil tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast