Mohamad Ariff Md Yusof

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen hari ini diberi amaran agar tidak membangkitkan sebarang isu berhubung klip video seks sejenis melibatkan seorang menteri dalam sidang Parlimen akan datang.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof berkata, ia bertentangan dengan peraturan Parlimen bagi membangkitkan atau membincangkan isu yang masih disiasat polis.

“Isu-isu seperti itu tidak boleh dibangkitkan semasa sidang Parlimen kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan.

“Ia adalah tidak matang bagi memikirkan untuk membangkitkannya (isu itu),” katanya seperti yang dilaporkan oleh FMT.

Terdahulu beliau hadir di Persidangan Parlimen Parlimen Asean ke-10.

Amaran itu dikeluarkan susulan pendedahan menggemparkan pemimpin Pemuda PKR Haziq Aziz minggu lalu bahawa beliau merupakan salah seorang daripada 2 individu yang dirakam mengadakan hubungan seks sejenis.

Haziq juga menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebagai orang ke-2 dalam klip itu yang tersebar di media sosial. Azmin menafi keras dakwaan tersebut dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang.

Ariff berkata, adalah lebih baik membiarkan pihak berkuasa menyiasat isu itu.

“Akan ada unsur prasangka, dan kita tidak akan membenarkannya,” katanya.

Beliau juga berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli Parlimen yang menimbulkan isu itu mengikut peraturan Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.