Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.
Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

JOHOR BAHRU – Empat lelaki maut manakala seorang lagi buta mata dipercayai akibat minum samsu haram yang mengandungi bahan kimia beracun jenis methanol, di beberapa daerah di Johor, malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, kesemua mereka yang berumur antara 30 dan 36 tahun itu terdiri daripada seorang warga tempatan, serta masing-masing satu warga Nepal, India dan Pakistan, manakala seorang lagi mangsa yang mengalami buta mata merupakan warga tempatan.

‚ÄúSiasatan awal mendapati mereka meminum arak jenis ‘Miludeer’ yang mengandungi methanol yang dibeli di pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, petang tadi.

Katanya susulan itu polis menahan sembilan individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual samsu haram di Johor, dan ‘Ops Samsu ‘ yang dijalankan pihaknya turut berjaya mengenalpasti beberapa premis yang dipercayai menjual samsu haram.

“Sembilan individu yang ditahan itu terdiri daripada empat lelaki tempatan dan lima warga Indonesia berumur dalam lingkungan umur antara 25 dan 44 tahun, di beberapa lokasi berasingan di sekitar Johor Bahru Selatan, Seri Alam dan Kulai.

“Turut dirampas sejumlah botol dan tin arak dipercayai diseludup masuk tanpa membayar duti kastam,” katanya dan menambah, siasatan juga sedang dijalankan untuk mengenalpasti sama ada kes yang berlaku di Johor mempunyai kaitan dengan beberapa kes kematian akibat minum arak buatan sendiri di Pulau Pinang semalam.

Mohd Khalil berkata, sampel-sampel minuman itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengesan kandungannya, manakala bedah siasat ke atas semua mangsa oleh pihak hospital akan mendedahkan punca sebenar kematian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali selain turut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda maksimum 20 kali ganda nilai duti kastam atau penjara maksimum tiga tahun atau keduanya sekali.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai agar tidak membeli dan minum samsu atau arak yang dibawa dan dibuat secara haram kerana kandungan minuman itu amat diragui.

“Saya juga berharap sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penjualan samsu haram boleh menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran kerana kita percaya ada stok samsu haram yang telah disorokkan sebelum kita lakukan serbuan,” katanya lagi. – Bernama