Haziq Abdullah Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kedudukan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin akan ditentukan dalam “satu dua hari” lagi.

Timbalan Menteri Industri Utama itu berkata, Haziq telah memberikan surat tunjuk sebab pada 14 Jun lalu dan pihak kementerian kini sedang meneliti surat tersebut.

“Kita baru dapat (surat) Jumaat dan hari ini (baru) Isnin. Kementerian terutama bahagian sumber manusia sedang menelitinya.

“Satu dua hari ini akan ada keputusan. Kita tidak akan menunggu masa lama (untuk buat keputusan),” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam surat tersebut, Haziq memaklumkan, dia mengalami kemurungan ekoran penularan video seks tersebut dan memerlukan masa untuk menghubungi kementerian.

Surat tunjuk sebab itu dikeluarkan pada 12 Jun lalu, beberapa jam selepas Haziq membuat pengakuan sebagai individu yang dirakam dalam video seks yang tular, serta mendakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebagai seorang lagi yang terlibat.

Dalam sidang media 13 Jun lalu, Shamsul berkata, surat itu dikeluarkan atas beberapa sebab, antaranya kerana syarat dalam kontrak Haziq turut menyentuh soal tindakan yang boleh mencemarkan kementerian.

Haziq juga boleh dianggap ponteng kerja kerana tidak hadir bertugas sejak video pengakuannya.

Bagaimanapun, Shamsul tidak menolak Haziq akan dipecat.

“Pihak pentadbiran sedang meneliti dan kita akan maklumkan nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast