Saifuddin
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto AFFAN FAUZI, 18 JUN 2019

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tidak berlaku kenaikan harga simen seperti yang dicadang oleh pemain industri itu.

Bagi memastika harga simen tidak naik, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berunding secara berterusan dengan semua pemain industri.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu penting dalam memastikan sasaran menyediakan sejuta rumah mampu milik tidak menerima tempias daripada cadangan kenaikan harga bahan binaan seperti dikehendaki pengusahanya.

Menurut beliau, pihaknya telah memanggil mereka yang terlibat dalam industri simen, pembekal dan pemborong untuk memberi penjelasan munasabah terhadap cadangan menaikkan harga bahan binaan.

“Kalau kenaikkan harga ini berlaku, ia akan turut menjejaskan hasrat kerajaan untuk membina satu juta rumah mampu milik buat rakyat.

“Justeru kita akan berusaha ke arah sasaran tiada kenaikan harga pada akhir rundingan nanti, kerana laporan awal yang saya terima dari pegawai, reaksi dari pihak industri adalah positif.

“Reaksi positif itu mengikut kefahaman saya ialah tidak akan ada kenaikan harga simen pada akhirnya. Bagaimanapun itu hanya sebahagian saja jadi kita akan teruskan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran MIDF hari ini.

Tambah Saifuddin, sejak cadangan surat pekeliling mengenai kenaikan harga simen diedarkan kepada pelanggan tular, kementerian itu terus mengeluarkan notis yang mewajibkan pemain industri simen memberi penjelasan keperluan menaikkan harga dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh notis itu dikeluarkan.

Menurutnya, kementerian beliau bertanggungjawab mengeluarkan lesen memborong simen dengan syarat pihak industri wajib memaklumkan mengenai tindakan menaikkan harga serta alasannya.

“Kegagalan maklumkan kepada kementerian adalah perlanggaran undang undang yang boleh membawa beberapa tindakan bersabit.

“Maka mereka mesti jelaskan kenapa perlu naikkan harga, alasan kalau kata kenaikan tarif, kena jelaskan kepada kami berapa implikasi kenaikan sektor mana didakwa naik sama ada sektor keluli, simen atau sektor lain,” ujarnya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya dan Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan untuk memuktamadkan formula pemberian kad khas petrol bersubsidi bersasar B40.

“Formula sudah dirangka, ia semua ada dalam kertas pelaksanaan termasuk apa formula sesuai, berapa ramai akan dapat dan bila akan dilaksanakan semuanya akan dibentangkan dalam kertas itu nanti.

“Selepas sebulan ini selesai ia akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan,” katanya.-MalaysiaGazette