Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-40 perbicaraan SRC International Sdn Bhd berkata, resolusi menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua RM2 bilion syarikat itu dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP)  diputuskan semasa mesyuarat Kabinet pada 8 Febuari 2012.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Tan Sri Mazidah Abdul Majid itu berkata, keputusan itu dibuat sewaktu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak tanpa perbincangan jemaah menteri.

“Kalau ada perbincangan, ia telah terkandung dalam minit,” kata Mazidah kepada Mahkamah Tinggi ketika prosiding perbicaraan Najib atas dakwaan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram RM42 juta melibatkan SRC International Sdn Bhd di hari ke-27.

Tambahnya, antara menteri yang hadir pada mesyuarat kabinet ketika itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Turut hadir lagi adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam.

SRC International telah diberikan sejumlah RM4 bilion pinjaman daripada KWAP – jumlah pertama iaitu RM2 bilion disalurkan pada bulan Ogos 2011 kemudian separuh lagi pada Mac setahun kemudian.

Najib selain itu dikatakan gagal tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam SRC International Sdn Bhd sepanjang mempengerusikan mesyuarat Kabinet ketika isu memorandum jaminan SRC diketengahkan. MalaysiaGazette