Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-60 di Kuantan, Pahang hari ini.-pix ihsan Harakahdaily.

KUANTAN – “Yang mengaku ini mesti dihukum dulu sebab dia mengaku terlibat tapi kalau yang mengaku ini kita tak beri perhatian kita fokus kepada mangsa yang dituduh, saya bimbang satu masa nanti akan muncul pula orang lain mengaku buat dengan orang itu orang ini,”

“Sebab itu Islam ini yang mengaku itu mesti dihukum adapun pertuduhan ia harus bawa bukti yang itu kita serah kepada pihak berkuasa,” kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-60 di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan isu video tular dan pengakuan Haziq Abdul Aziz berkenaan video seks songsang yang mengaitkan seorang menteri baru-baru ini.

Tuan Ibrahim yang dipetik daripada laporan Harakahdaily menegaskan, Pas mengambil pendekatan tidak campur tangan dalam kes video seks yang dikatakan melibatkan seorang menteri.

“Islam melihat bahawa orang yang mengaku dia melakukan kemungkaran itu dia mesti dihukum. Kalau kita biarkan budaya masing-masing isytihar “saya buat dengan orang itu dan orang ini” akan punah negara,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan penegasan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Mohd Yusof yang melarang ahli-ahli Parlimen menimbulkan isu berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat 1 Julai ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast