Safee Sali.
KUALA LUMPUR – “Tipu lah kalau diri saya ingin menolak panggilan skuad kebangsaan.”
Itulah reaksi bekas penyerang kebangsaan dan pemenang kasut emas Piala AFF 2010, Mohd Safee Sali apabila ditanya jika masih mempunyai minat untuk menyarung jersi kebangsaan.

Penyerang veteran berusia 35 tahun yang telah mencetak 23 gol dalam 73 penampilan untuk skuad kebangsaan, berkata sekiranya dipanggil oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, beliau sedia membuktikan kebolehannya.

“Bagi saya, jika dipanggil (ke kem latihan pasukan kebangsaan), saya harus bersiap sedia dari segi fizikal dan mental. Jika diberi peluang, saya rasa saya tiada masalah untuk saya membuktikan,” katanya selepas aksi Liga Super antara Petaling Jaya (PJ) City FC dan Felda United FC, malam tadi.

Pada aksi tersebut, Mohd Safee menjaringkan gol ketiga beliau bagi musim ini untuk membantu PJ City FC mencatatkan kemenangan tipis 1-0 menentang pasukan tercorot liga di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Bercakap mengenai perlawanan itu, Mohd Safee berkata, tiga mata itu sangat berharga buat pasukan tersebut, yang kini menduduki tempat kelapan daripada 12 pasukan, untuk mengelakkan penyingkiran ke Liga Premier pada musim depan.

“Semua pemain menunjukkan kesungguhan dan bekerja keras untuk menang kerana semua pemain tahu kedudukan kita dalam carta. Pada aksi ini, memang kami menghadapi kesukaran kerana Felda United pun berada dalam zon bahaya, jadi pemain pasukan itu juga mahukan kemenangan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PJ City FC, K. Devan berkata pemain menunjukkan fokus, komitmen dan keyakinan untuk meraih kemenangan tersebut, supaya meletakkan pasukan itu di zon yang lebih selesa bagi mengelakkan penyingkiran.

“Tiga mata ini penting, yang akan bantu kita dari segi keyakinan dan bermain lebih selesa pada perlawanan-perlawanan akan datang kerana kita akan berada dalam keadaan tertekan apabila berada dalam zon bahaya,” katanya.

Mengulas mengenai baki lima aksi yang dilihat mencabar apabila dijadualkan bertemu Kedah, Melaka, juara bertahan Johor Darul Ta’zim, Selangor dan PKNP FC, Devan berkata jurang kualiti antara pasukan tersebut dan skuad kendaliannya tak banyak beza.

“Bagi kita, dengan pasukan kuat pun tak pernah kalah teruk, kita bermain dengan baik menentang mereka. Mungkin kita melakukan kesilapan untuk kalah, tapi jurang perbezaan kualiti itu tak banyak… Kita berjaya atasi Pahang (2-0), bukan nak dabik dada tapi kita boleh bermain dengan baik dan menang ke atas pasukan kuat.

“Sekarang ini pemain kena fokus dan elakkan kesilapan mudah. PJ City dengan komitmen dan kumpulan pemain yang ada, boleh bermain dengan mana-mana pasukan, cuma ada beberapa pemain yang kurang berpengalaman di posisi penting…Itu yg menyebabkan kita hadapi masalah di saat-saat genting,” katanya.

Dengan dua pasukan tercorot liga bakal tersingkir ke divisyen kedua, PJ City (20 mata) kini mengatasi PKNS FC (19), Kuala Lumpur (14), PKNP FC (13) dan Felda United (12) dalam carta Liga Super. – MalaysiaGazette