Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Facebook dalam waktu terdekat bagi mencari penyelesaian berhubung sekatan ke atas talian hotline 60108608949 oleh pengurusan aplikasi Whatsapp.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sekatan ini berlaku selepas terdapat aduan daripada orang awam yang mendakwa talian hotline tersebut melanggar terma dan syarat WhatsApp.

Menurutnya, talian hotline berkenaan diwujudkan bagi membolehkan orang ramai membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan sekiranya terdapat perokok yang merokok di tempat-tempat awam termasuk restoran tertutup dan terbuka, yang telah diisytiharkan sebagai zon tidak merokok.

Selain itu, talian tersebut juga disediakan bagi memudahkan orang awam mendapatkan maklumat, membuat pertanyaan atau mendapatkan nasihat berkaitan.

Langkah itu diambil ini bagi memperkasakan peranan orang awam dalam membantu kementerian melaksanakan larangan merokok, selain meningkatkan kesedaran mereka terhadap bahaya asap rokok.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan tentang mesej yang dihantar ke nombor 60108608949 tidak sampai kepada nombor tersebut. Tiada tanda double tick pada aplikasi itu untuk menunjukkan ia telah diterima.

Sebahagian dasar privasi WhatsApp seperti dinyatakan di laman webnya berbunyi: “Anda tidak akan menggunakan (atau membantu orang lain menggunakan) perkhidmatan kami dengan cara yang: (a) melanggar, menyalahi undang-undang, atau mencabuli hak WhatsApp, pengguna kami atau orang lain, termasuk privasi, publisiti, harta intelek, atau hak proprietari lain.

Hotline itu diperkenalkan Kementerian Kesihatan selepas ia melaksanakan larangan merokok pada 1 Januari lalu di semua tempat-tempat makan.

Di bawah peraturan itu, kementerian itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara tiga tahun terhadap pelanggan dan pemilik premis yang gagal mematuhi arahan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast