Pemain legenda Liverpool, Steven Gerrard dilantik sebagai pengurus kelab Scotland, Glasgow Rangers. Foto The Independent.
Steven Gerrard . Foto The Independent.

LONDON – Pengurus kelab Liga Scotland Rangers, Steven Gerrard tidak berminat kembali ke Liga Inggeris setelah menolak tawaran yang ditawarkan oleh Derby County.

Bekas kapten berstatus legenda di Liverpool, Gerrard menjadi pilihan utama pengurusan The Rams untuk menggantikan Frank Lampard yang dijangka kembali menyertai Chelsea untuk menggantikan Maurizio Sarri.

Sarri kembali ke Itali untuk menyertai Juventus selepas semusim di Stamford Bridge.

The Times melaporkan Derby telah melamar Gerrard untuk menjadi pengganti kepada bekas rakan pasukan senegaranya di dalam pasukan England itu.

Namun Gerrard, 40 dikatakan tidak berminat untuk kembali ke England buat masa ini.

Malah Gerrard dikatakan komited untuk terus kekal bersama Rangers dan kini dalam perancangan membawa masuk tiga pemain baharu sebelum bermulanya kem latihan pra musim kelab itu di Portugal.

Gerrard sebelum ini melepaskan jawatan bersama skuad akademi Liverpool untuk jawatan di Ibrox.

Pada musim pertama penuh beliau bersama Rangers, Gerrard berjaya memimpin kelab tersebut menduduki tangga kedua Liga Perdana Scotland, sekaligus layak ke pertandingan LIga Europa musim hadapan. – MalaysiaGazette