Foto Instagram Liza Hanim

KUALA LUMPUR –  Penyanyi Liza Hanim terus berdepan ujian apabila bapanya menghembuskan nafas terakhir malam tadi selepas sebulan bapa mentua kembali ke pangkuan Ilahi.

Menerusi Instagram miliknya, Liza memberitahu, arwah meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini.

“Innalillahiwainnailaihirojiun… DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Sesungguhnya, tiada kuasa yang lebih besar daripada kuasaNya Yang Maha Besar.

“Ayah saya, Haji Abd Halim Haji Abd Razak telah kembali ke Rahmatullah, sebentar tadi.

“Dengan rendah diri, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan ayah agar ditempatkan dalam kalangan orang yang dikasihi Allah,” tulisnya malam tadi.

Jelas Liza, jenazah akan dibawa pulang ke kediaman keluarga selepas selesai diurus di pusat perubatan berkenaan.

Pada 9 Mei lalu, bapa mentua Liza, Mohamed Samsudin Tahir, meninggal dunia.

Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hani Abd Halim berkahwin dengan Mohamed Shahrin atau Shah, yang juga anggota kumpulan Indigo, pada 2003. Mereka dikurniakan lima anak. – MalaysiaGazette