Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Laporan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara dijangka dibentangkan kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada minggu hadapan.

Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, ia akan dibentangkan beliau sendiri dalam kabinet nanti.

“Laporan Kajian pendidikan kita ini saya sendiri akan bentangkan kepada PM pada minggu depan nanti.

“Malah beberapa siri makmal dan bengkel mengumpul maklumat memperhalusi laporan kajian dasar pendidikan itu juga akan diadakan.

“Apabila tiba waktunya nanti, kita akan membawa kepada Kabinet nanti untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi beliau di Putrajaya.

Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan telah diwujudkan melalui cadangan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula dasar pendidikan negara.

Ia termasuklah langkah menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga peringkat universiti.

Disoal mengenai inisiatif baharu menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) oleh beliau semalam, Maszlee juga menjelaskan ia akan dimaklumkan pada masa yang sesuai.

Beliau juga menegaskan memandangkan masa depan yang tidak menentu dan menanti cabaran mendatang, anak-anak perlu dipersiapkan dengan segala kelengkapan menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“TVET khususnya graduan lepasan kolej vokasional dan politeknik juga akan difokuskan bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Ruang pekerjaan yang menantikan mereka 10 tahun akan datang adalah berbeza dengan keadaan hari ini, maka kita perlu membuat persiapan sekarang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette