Khalid Abdul Samad
Khalid Samad \. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2019

SHAH ALAM – Penyebaran aduan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) di laman media sosial dikhuatiri didalangi oleh penyokong parti pembangkang yang sengaja mempolitikkan isu berkenaan pengurusan jemaah haji Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, sewajarnya jemaah haji atau mana-mana pihak berkepentingan menyalurkan aduan mereka kepada pihak pengurusan TH agar diselesaikan dengan saluran betul.

“Malangnya di negara ini semua perkara dipolitikkan, kadang-kala tiada masalah pun, tetapi oleh kerana mereka merupakan penyokong pembangkang, maka mereka hebohkan tentang perkara-perkara yang tak sewajarnya

“Dari segi pengurusan Tabung Haji, kita rasa tiada perbezaan dari sudut apa yang dilakukan tahun ini dan pada tahun-tahun yang sebelumnya.

“Kalau ada pun sudah pasti TH akan memaklumkan, kalau ada kurangnya perkhidmatan ini ataupun itu dan sebagainya,

“Apa yang kita inginkan kalau benar-benar ia satu masalah, sampaikan kepada pengurusan Tabung Haji secara terus, apa tak puas hati, apa yang kata kurang memuaskan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen dan Amanah Shah Alam di pekarangan Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Sambutan Aidilfitri Shah Alam di Perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2019

Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini yang mengingatkan jemaah haji supaya tidak menyebarkan berita dan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan TH di media sosial.

Sultan Selangor bertitah perbuatan itu hanya akan merumitkan keadaan dan tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi jemaah haji.

Khalid yang juga Ketua Penerangan Amanah berkata, tindakan jemaah haji tertentu menyebarkan ketidakpuasan hati itu di media sosial tanpa melalui saluran betul mempunyai agenda tertentu.

“Bila di disebarkan di dalam media sosial, maka tidak salah kalau kita beranggapan bahawa ada agenda politik di sebaliknya

“Samalah kes video-video kabur yang disebarkan, kalau betul ia merupakan satu aduan, di mana nakkan disiasat dan diambil tindakan, maka beri kepada pihak berkuasa yang berkewajipan untuk mengambil tindakan.

“Tetapi bila disebar luas di media sosial, maka itu menunjukkan ada agenda lain di sebaliknya, begitu juga dengan soal TH,” tegasnya.

Kata beliau, pihaknya sedia membantu dan menyelesaikan kesulitan jemaah haji dengan membawa kes tersebut kepada pihak pengurusan TH untuk diselesaikan secepat mungkin.

“Kalau betul-betul apa yang dijanjikan tak ditunaikan, maka maklumkan kepada pengurusan, kalau nak maklumkan kepada Ahli Parlimen, mereka boleh bawa kepada pengurusan (TH)

“Tapi bila sebar luas dalam media sosial, kita rasa kadang-kala ianya merupakan satu perkara yang mempunyai agenda tertentu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette