Ketua Penerangan Pemuda Harapan Malaysia, Ulya Aqaman Husamudin bercakap kepada media selepas menyerahkan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menggesa tindakan tegas dikenakan keatas UMNO di Perkarangan Kompleks D, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 JUN 2019

PUTRAJAYA – Pemuda Harapan Malaysia mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bertindak tegas ke atas UMNO yang didakwa menerima wang secara haram daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Ketua Penerangan Pemuda Harapan Malaysia, Ulya Aqamah Husamudin berkata, tindakan itu perlu diambil memandangan jumlah dana yang diterima UMNO dianggarkan RM212 juta.

Menurutnya, satu tindakan tegas berlunaskan undang-undang sedia ada harus dikenakan ke atas UMNO ekoran pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Ini perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana wang itu sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi negeri bukan disalurkan kepada kepentingan parti dan kegunaan UMNO.

“Tindakan memindahkan dana dengan jumlah yang begitu besar ini jelas menunjukkan terdapat salah guna kuasa dan kesalahan penggunaan wang rakyat oleh UMNO,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya andai dibiarkan tanpa tindakan tegas, amalan itu dikhuatiri akan menjadi ikutan pada masa hadapan dan perkara sama akan berulang kembali.

“Maka adalah penting untuk tindakan dikenakan ke atas UMNO sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua bahawa penerimaan wang seperti ini adalah haram dan salah di sisi undang-undang.

“Ini Tindakan tidak bermoral apatah lagi UMNO buat masa di tampuk kuasa dan ia perlu disiasat dan disusuli hukuman seadilnya.

“Pemuda Harapan sekali lagi mendesak Ros sebagai pihak berwajib untuk bertindak berat dalam perkara ini ke atas UMNO atas amalan korup dan tidak bermoral ini demi menjunjung tinggi prinsip ketelusan dan integriti politik,” tegasnya lagi.

Terdahulu Ketua Pemuda Pakatan Harapan Syed Saddiq Abdul Rahman turut mendesak kerajaan tindakan keras harus menyusul ke atas UMNO kerana didakwa menerima dana berjumlah RM212 juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

SPRM semalam memfailkan permohonan terhadap 41 individu dan entiti bagi mendapatkan semula wang berjumlah RM270 juta yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disyaki diseleweng kerajaan UMNO BN semasa pemerintahan lalu.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 56, Aklta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 bagi mendapatkan semula wang berkenaan yang disyaki dipindahkan dari satu akaun Ambank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast