Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diiringi Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Penyerahan Cek Elauan Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2019

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Tun Dr Mahathir Mohamad behubung penyerahan jawatan perdana menteri.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tidak timbul sebarang isu mengenai penyerahan jawatan tersebut kerana masing-masing memahami janji yang telah dibuat.

Menurutnya, perkara mengenai pertukaran jawatan masih sama dan yang paling penting adalah perkara yang termeterai harus ditunaikan.

“Sekejap lagi saya akan menemui Perdana Menteri. Isu pertukaran jawatan masih sama.

“Tidak ada masalah sama sekali di antara kami, jawapan PM yang penting adalah bahawa yang termetarai dan dijanjikan adalah perlu ditunai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis penyerahan Eaun Sara Hidup Bulanan kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri hari ini apabila berkata beliau hanya akan meletak jawatan dalam masa tiga tahun sebelum menyerahkan tugas kepada Anwar yang juga Presiden PKR.

Persoalan mengenai tarikh beliau akan berundur dan siapa bakal penggantinya mula menjadi perhatian sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Walaupun sebelum ini pernah mengumumkan bahawa Anwar akan menggantikannya, timbul spekulasi bahawa Dr Mahathir mahukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut mengenai perkar itu, Anwar menegaskan, soal penentuan tarikh bagi penyerahan jawatan berkenaan keputusan mengenainya hanya akan ditentukan oleh mereka berdua.

Katanya, masyarakat perlu memberi ruang kepada siapa sahaja yang diberi kuasa untuk mentadbir negara dengan berkesan tanpa diganggu dengan pertanyaan peletakkan jawatan.

“Bagi saya isu ini dan juga bagi Tun Mahathir sudah selesai. Ia dibangkitkan dan kita komen,” ujarnya.

Seramai tujuh sasterawan menerima cek sebanyak RM5,000 sebagai menghargai sumbangan mereka yang dianggap cukup besar dan amat signifikan dalam membangunkan negara menerusi kecemerlangan Bahasa Melayu dan menyemarakkan pembangunan industri kreatif di Malaysia.

Elaun tersebut akan diterima oleh mereka sepanjang hayat dan pembayaran pada tahun ini akan bermula pada Julai hingga Disember dengan peruntukan sebanyak RM35,000 setiap seorang.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast