Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua kanan) menyaksikan penyampaian replika cek kepada atlet paralimpik negara pada Majlis 'My Voice My Nation' di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Walaupun mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat dunia sebagai pemimpin hebat, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak berapa bagus dalam bidang sukan.

Perdana Menteri berkata, beliau hanya bermain sukan ragbi di zaman sekolah namun kebanyakan waktunya dihabiskan dengan belajar dan membaca buku.

Bagaimanapun beliau percaya bahawa aktiviti fizikal dan sukan adalah penting kepada setiap individu.

”Saya menunggang kuda ketika berusia 60 tahun dan sudah pasti saya tidak dapat menunggangnya lagi hari ini kerana kekangan masa.

“Pada masa sama, kuda kegemaran saya sekarang sudah terlalu tua. Bagaimanapun, saya kadang-kadang cuba melakukan aktiviti berbasikal pada hujung minggu tetapi itu juga agak jarang berlaku dan tidak kerap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penampilan khas sebagai speaker kehormat pada program My Voice My Nation Malaysia 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam ini.

MGF26062019_TUN M MY VOICE01
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali bergambar kenangan bersama tetamu terhormat yang hadir pada Majlis ‘My Voice My Nation’ di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JUN 2019.

Turut hadir, isteri beliau,Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Program forum pengucapan awam bermotivasi dan konsert amal itu dianjurkan Sannie Movement (M) Sdn Bhd dan Relement Group Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Mahathir menambah minat membaca dan menulisnya tidak pernah berhenti malah beliau sama sekali tidak merancang untuk menangguhkannya.

Ujar beliau, menulis membuatkan fikirannya aktif dan membaca pula menyedarkannya bahawa banyak benda yang masih tidak tahu dan banyak lagi yang perlu dipelajari.

“Malah pada hari ini, saya membaca semua jenis buku, fiksyen dan bukan fiksyen.

“Menjadi seorang Muslim mengingatkan saya bahawa wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW adalah meminta umatnya membaca dan jika wahyu Ilahi tidak dapat meyakinkan kita tentang kepentingan bacaan, saya tidak tahu apa lagi yang boleh buat.

“Ia adalah sesuatu yang saya suka lakukan walaupun anak-anak muda hari ini lebih meminati telefon pintar atau komputer riba mereka iaitu cara membaca yang berbeza dengan saya.

“Saya masih mencari buku bacaan dan memilikinya secara fizikal di tangan saya dan bau kertas dan cetakan tidak boleh dielakkan,” katanya.

Sementara itu, My Voice My Nation Malaysia 2019 turut menampilkan personaliti terkemuka dalam pengucapan awam dari dalam dan luar negara membabitkan ahli politik, usahawan dan penghibur yang akan berkongsi kisah kejayaan serta pengalaman hidup mereka sebagai sumber inspirasi.

Turut mengambil bahagian sebagai speaker kehormat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Sempena program itu nanti, Yayasan Atlet Paralimpik Malaysia dilancarkan dan sumbangan RM250,000 diserahkan kepada yayasan berkenaan. – MalaysiaGazette