Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor (MPPPV) Pertama di Bawah MED di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 27 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Perbincangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai projek kereta terbang sudah selesai pada peringkat mesyuarat badan siasatan dan perkara itu tidak perlu lagi disiasat.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof, PAC telah mengadakan mesyuarat mengenainya pada Februari lalu, dan tidak timbul lagi isu mengenai dana membiayai projek itu.

“Saya rasa tiada (siasatan) setahu saya. Perbincangan PAC mengenai kereta terbang sudah selesai, kita pun belum dapat apa-apa makluman daripada PAC,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor (MPPPV) di Menara Berkembar Bank Rakyat, hari ini.

Redzuan berkata demikan ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh bahawa PAC telah memulakan siasatan ke atas projek kereta terbang bagi menyiasat sama ada projek itu menggunakan wang kerajaan atau dana awam.

Redzuan sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa projek itu tidak dibiayai oleh dana kerajaan.

“Kita tidak belanja satu sen pun duit kerajaan, jadi dalam mesyuarat PAC yang telah dilangsungkan tiga bulan sudah.

“Mesyuarat ringkas sahaja cumanya mereka nak maklum balas daripada kami siapakah syarikat persendirian yang nak membangunkan kereta terbang,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu juga pernah berkata, prototaip kereta terbang sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini.

Malah menurutnya lagi, kos untuk membina prototaip tersebut akan melebihi RM1 juta. -MalaysiaGazette