Datuk Seri Rina Harun. foto NOOREEZA HASHIM, 27 JUN 2019.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar tidak pernah mengeluarkan memo larangan terhadap kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk hadir ke majlis hari raya yang dianjurkan pembangkang.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, ia terpulang kepada mana-mana kakitangan untuk menyertai acara tersebut memandangkan ia terbuka kepada orang ramai.

“Saya tidak pasti pasal memo itu, tetapi bagi kita tidak pernah mengeluarkan memo sebegitu, takkan pergi rumah terbuka tidak boleh.

“Nama pun rumah terbuka, terpulang kepada sesiapa untuk menghadirinya, macam kita mengadakan rumah terbuka baru-baru ini, kita jemput semua orang tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Rina ditanya wartawan mengenai penularan satu memo yang didakwa dikeluarkan Kemas bertarikh semalam apabila melarang semua kakitangan jabatan itu di Machang Kelantan menghadiri sebarang program, mesyuarat dan keraian termasuk sambutan Hari Raya anjuran pembangkang.

Memo itu juga memaklumkan tindakan tatatertib akan dikenakan sekiranya mereka didapati melanggar larangan diberkenaan. – MalaysiaGazette