Mastura Yazid
Mastura Yazid

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar didesak menyatakan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu hak asasi masyarakat minoriti Muslim Uighur di Xinjiang, China.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid berkata, Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah perlu menyatakan pendirian itu bagi mengelak kekeliruan setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof membuat kenyataan berbeza.

Katanya, PH perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia apakah dasar sebenar kerajaan dan bagi umat Islam sejagat.

“Saya mohon Kementerian Luar menyatakan pendirian kerajaan PH yang baharu setahun mengambil alih kerajaan ini berkaitan isu hak asasi masyarakat Muslim Uighur,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas sikap tidak prihatin Mujahid ke atas masyarakat minoriti di Xinjiang yang disifatkan memberi ‘persetujuan’ terhadap dasar penindasan yang sistematik terhadap golongan itu.

Isu itu tercetus apabila Mujahid menerusi laman Facebooknya pada Rabu lalu, menyatakan beliau dibawa melawat pusat latihan dan vokasional untuk masyarakat Uighur di Xinjiang.

Dalam lawatan itu beliau mendapati pusat tersebut menjalankan aktiviti latihan perindustrian dengan pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas perundangan, seni, gubahan bunga dan sebagainya.

Berikutan postingnya itu, beliau mendapat kritikan warga net termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan tindakan Mujahid bukan sahaja memalukan, tetapi melukakan hati umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Katanya, pendirian menteri itu jika tidak dijelaskan boleh ditafsirkan sebagai pendirian Malaysia dan ia sangat jelek dan tidak boleh diterima dari sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. – MalaysiaGazette