Majlis Belia Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya berusaha keras menaikkan gaji minimum sehingga RM1, 500 hingga  RM1,800 bersesuaian dengan dapatan kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Belanjawanku.

Itu antara empat cadangan mampan pembangunan masa depan belia yang disyorkan Majlis Belia Malaysia dalam membela nasib dan masa depan belia negara ini.

Presidennya Jufitri Joha berkata, MBM menyambut baik inisiatif kerajaan Pakatan Harapan yang mahu menangani kadar penggangguran 500,000 belia di negara ini yang telah mencecah 10.9 peratus pada tahun 2018.

Katanya, langkah itu perlu disegerakan kerajaan tanpa membuang masa sambil mengemukakan empat cadangan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

“MBM telah menyertai Sesi Konsultasi Belanjawan 2020 pada Khamis lalu yang dipengerusikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Putrajaya dan menyerahkan memorandum cadangan sebagai pengisian Belanjawan.

“Kerajaan harus bekerja keras menaikkan gaji minimum sehingga RM1800 bersesuaian dengan kajian KWSP Belanjawanku.

“Cadangan kedua yang perlu diteliti ialah menyediakan dana khas perumahan belia bagi golongan belia yang tidak berkemempuan ataupun tidak memenuhi syarat meminjam bank tempatan supaya membolehkan mereka membeli kediaman asas yang selesa,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambahnya cadangan ketiga yang disyorkan untuk dipertimbangkan kerajaan ialah mewajibkan majikan mengiklankan tawaran bekerja beserta gaji bagi dijadikan mekanisme memantau dan membandingkan gaji minimum dalam kalangan majikan.

Menurutnya langkah itu perlu untuk memastikan majikan memperuntukkan gaji minimun yang setimpal untuk bakal pekerja.

Cadangan terakhir yang disyorkan MBM, katanya meningkatkan dana kepada Kementerian Belia dan Sukan dan pertubuhan belia bagi menjayakan agenda sosial negara bagi menggalakkan para belia menyertai persatuan belia.

“Ia salah satu cara efektif mengelakkan para belia terlibat dalam jenayah dan gejala sosial sekaligus menjimatkan wang kerajaan,” ujarnya.

Jufitri berkata, MBM merupakan salah satu daripada 162 organisasi dengan 1516 isu yang disebut YB Menteri Kewangan yang menghantar memorandum cadangan untuk Belanjawan 2020 pada 30 Mei lalu.

“Akhirnya, MBM juga sukacita mencadangkan agar konsultasi belanjawan juga pada masa akan datang dikendalikan satu slot khas Menteri Kewangan bersama pemimpin belia dan pemimpin pergerakan belia.

“Ia memastikan Menteri boleh mendengar langsung cadangan dan idea daripada pihak generasi muda bersesuaian dengan agenda Kuasa Belia atau ‘Youth Power’ yang sedang dipopularkan oleh pihak Kerajaan,” ketika ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette