KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer diminta jangan bersikap melulu dan menuding jari kepada golongan muda khasnya dalam kalangan komuniti India dalam isu berleluasanya pengambilan arak tiruan.

Malah sebelum membuat dakwaan secara umum  Rayer disaran berkongsi fakta terlebih dahulu seperti serta data bagi menyokong pendirian pemimpin DAP itu.

Ketua Pergerakan Pemuda MIC Bahagian Bayan Baru, Mathis Sarawanan melahirkan rasa terkilan dengan sikap Rayer menyalahkan golongan muda kononnya sangat gemarkan arak tiruan.

Mathis menegur Rayer yang sepatutnya lebih berpengalaman kerana sudah lama menjadi wakil  supaya lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Sebagai bekas ADUN dua penggal dan kini Ahli Parlimen, sepatutnya lebih tahu dan faham punca utama dengan penghasilan serta penggunaan arak tiruan secara berleluasa bukanlah golongan muda secara umum sebaliknya wujudnya sindiket tertentu yang cuba ambil kesempatan.

“Sindiket ini cuba gunakan faktor sosio ekonomi untuk meraih keuntungan melalui penjualan arak tiruan murah. Rayer sendiri sedia maklum kerana di Pulau Pinang sendiri, ada pelbagai kempen oleh Pemuda DAP sendiri mendesak supaya penjualan arak tiruan ini diharamkan.

“Sepatutnya Rayer gunakan peluang yang ada sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat untuk mendesak pimpinan parti beliau bagi pengharaman arak tiruan ini dan bukan hanya ‘syok’ buat kenyataan sahaja.

“Adalah sungguh dangkal menuduh golongan muda khasnya India seolah-olah begitu terdesak dan teruk sekali sehingga menyebabkan jualan arak tiruan berleluasa, itu bukan sahaja salah sebaliknya memalukan golongan muda sendiri, sedarlah YB,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sebelum itu, Rayer dilaporkan berkata, pemuda India akan hanyut seandainya mengambil arak tiruan dan rata-rata mereka adalah mangsa kerana niat ingin tahu untuk merasai khayal.

Mathis memohon Rayer untuk mendesak supaya arak-arak tiruan yang di jual secara terbuka di kedai-kedai 24 jam seperti Happy Mart dan JJ Mart segera dikenakan tindakan terlebih dahulu.

“Hentikan sikap tuding menuding ini, sebelum ini anda salahkan kerajaan terdahulu untuk semuanya, kini golongan muda pula jadi mangsa.

“Kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya bekerja keras dalam melaksanakan perubahan seperti yang di janjikan bukan terus tuding jari tetapi jalan penyelesaian tiada walhal kuasa kini dalam tangan,” tegasnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/02/generasi-muda-suka-cuba-arak-tiruan/