Datuk Seri Ismail Sabri hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang hanya akan menyokong usul turun had umur mengundi kepada 18 tahun jika kerajaan bersetuju melaksanakan pendaftaran pemuda secara automatik dengan meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya juga mempunyai syarat kedua yang perlu didengar kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya mahu mereka menyokong inisiatif itu.

“Selaras dengan hasrat pembangkang mengiktiraf sumbangan dan hak golongan muda dalam negara ini, ahli-ahli Parlimen pembangkang telah bermesyuarat dan sebulat suara bersepakat mengemukakan cadangan pindaan pada Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami akan menyokong had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun sekiranya membolehkan warganegara yang cukup umur 18 tahun secara automatik terdaftar sebagai pemilih.

“Sehubungan itu pembangkang akan membawa usul di Parlimen bagi meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan sebagai langkah memberi ruang kepada proses itu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen petang hari ini.

Justeru kata beliau, blok pembangkang juga mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan atau syarat kedua mereka iaitu membenarkan pemuda bertanding pada pilihan raya.

“Selaras dengan itu juga, kami mahu pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan kerajaan.

“Ini perlu supaya kelayakan menjadi calon pilihan raya melibatkan pemuda juga diturunkan kepada 18 tahun,” ujarnya. – MalaysiaGazette