CAAM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mencadangkan supaya padang mendarat pesawat milik swasta di Kuala Klawang yang terlibat dalam nahas pesawat kecil baru-baru ini dinilai oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ia bagi menjamin keselamatan operasi landasan itu dan pesawat yang melintasi ruang udara dan jika perlu, elakkan aktiviti penerbangan menggunakan padang mendarat sehingga mendapat kebenaran daripada CAAM.

Perkara itu merupakan cadangan yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan hasil dapatan dan siasatan yang dibuat susulan nahas sebuah pesawat kecil di Kuala Klawang baru-baru ini.

Dalam kejadian 29 Jun lalu, sebuah pesawat dipercayai terhempas ditemui di kawasan Purun, Kuala Klawang.

pesawat

Bangkai pesawat yang ditemui terbakar di Kuala Klawang pada 29 Jun lalu. Pesawat yang ditemui itu sudah terbakar.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai kesesuaian padang mendarat pesawat itu dan tidak pernah memberikan apa-apa bentuk pensijilan seperti aerodrome dan aktiviti terbang terutama dalam kapasiti persendirian.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti keselamatan ruang udara bagi pesawat terbang rendah yang melalui kawasan tersebut.

Hasil siasatan itu mendapati, juruterbang pesawat itu adalah seorang warga Amerika dan pemegang lesen Persekutuan Penerbangan Amerika Syarikat yang disahkan untuk penerbangan aerobatik, pernah juga melakukan beberapa penerbangan aerobatik sebelum ini di Malaysia.

Beliau adalah ahli Kelab Pengembaraan Udara. Kini, beliau juga pemegang lesen Juruterbang Persendirian Malaysia bernombor 7872 yang tamat pada 22 April 2020. Pemeriksaan Kecekapan Terakhirnya dilakukan pada 23 April 2019 bagi pendaftaran pesawat 9M-EEC.

Kementerian juga mendapati tiada panggilan kecemasan yang dibuat oleh krew.

Pesawat itu terhempas di kawasan pedalaman dengan kesan yang meluas tetapi tiada pengaktifan Pemancar Penunjuk Kecemasan untuk memberi isyarat kepada pasukan pencari dan penyelamat (SAR) atau petunjuk kepada kawalan trafik udara (ATC).

Malah, tiada komunikasi dari pesawat TECNAM ke ATC Subang sejak ia berlepas dari padang pendaratan selepas pesawat SINUS mendarat pada 1028 LT.

Kementerian Pengangkutan berkata, pada 29 Jun lalu, pesawat SINUS -VG dengan nombor pendaftaran HA-TAM berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dengan dua orang penumpang pada pukul 10 pagi ke Kuala Klawang dan mendarat pada pukul 10.28 pagi.

Anak-anak kapal memaklumkan ATC Subang untuk berada di lapangan di Kuala Klawang selama 3 jam.

Di padang pendaratan Kuala Klawang, pesawat mendarat. Kedua-duanya kemudian mengambil pesawat lain – TECNAM P2 dengan pendaftaran 9M-MZC yang sudah siap sedia berada di landasan kapal terbang. Mereka melakukan penerbangan di sekitar padang pendaratan.

Semasa terbang pesawat hilang kawalan dan terjatuh.

Pesawat terbakar dan kedua-dua mereka berjaya menyelamatkan diri namun melecur teruk pada badan dan diselamatkan oleh orang tempatan sebelum dibawa ke hospital.

Mereka kemudian dipindahkan ke Prince Court, di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette