Mohamed Azmin Ali semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan bukan OPEC di Vienna , Austria.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyokong cadangan Deklarasi Kerjasama yang melanjutkan pengurangan bekalan minyak sehingga Mac 2020 bagi melancarkan kerjasama semasa.

Meskipun bukan menjadi ahli OPEC, Malaysia tetap akan bersama dengan pengeluar-pengeluar minyak dalam meneruskan kestabilan pasaran dunia yang memberi kelebihan kepada negara-negara pengeluar dan pengguna.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia turut menghargai inisiatif Sekretariat OPEC yang gigih memuktamadkan “Piagam Kerjasama di antara Negara-Negara Pengeluar” (CoC), dengan mengambil kira maklum balas dan pandangan dari semua negara peserta, termasuk Malaysia.

CoC yang diterima pakai oleh negara-negara peserta hari ini akan menginstitusikan rangka kerja kerjasama yang kerap dan berkekalan, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azmin menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Minyak OPEC dan bukan OPEC yang diadakan di Vienna, Austria.

Menurut beliau, dalam mesyuarat tersebut, Malaysia mengulangi prinsip-prinsip CoC, yang secara sukarela tanpa hak atau obligasi yang mengikat secara sah dan tidak menjejaskan kedaulatan negara anggota.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaannya adalah penting untuk memastikan kerjasama dan kesepakatan berterusan antara OPEC dan ahli bukan OPEC.

“Dalam hal ini, Malaysia mencadangkan, selain menguruskan jumlah pengeluaran minyak, CoC juga perlu mencapai matlamat lebih tinggi untuk memastikan kestabilan pasaran minyak global,” katanya.

Malaysia turut menegaskan cabaran semakin meningkat di pasaran minyak dunia hari ini dipacu oleh pelbagai faktor termasuk kelembapan pertumbuhan ekonomi global serta peningkatan ketegangan geopolitik yang akan memberi kesan kepada ekonomi membangun yang lebih kecil. – MalaysiaGazette