Sabri Yunus mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan menerbitkan dokumentari mengenai ketokohan dan pemikiran bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Penerbitan dokumentari itu merupakan kerjasama bersama sutradara yang juga pelakon kelahiran Kelantan, Sabri Yunus.

Dalam entri yang dimuat naik di laman web rasmi YADIM, Sabri memberitahu, pihaknya menjalankan beberapa kajian sendiri bagi mendapatkan maklumat maklumat penting berkenaan tokoh berkenaan bagi merealisasikan hasrat penerbitan dokumentari itu.

“Selain membaca buku buku, menemuramah orang orang terdekat dengan beliau, saya juga menonton beberapa filem berkaitan tokoh tokoh agama yang lain,” kata Sabri seperti dilaporkan laman web YADIM baru-baru ini.

Sabri sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz di pejabatnya.

Hadir sama mewakili YADIM ialah Penasihat Media Sektor Penyelidikan  dan Penerbitan Dakwah, Mohd. Shauki Abd Majid.

Menurut Sabri, antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan YADIM ialah bentuk penghasilan karya, jalan cerita, konsep, pulangan serta isu hak cipta.

“Usaha ini bukan mudah memandangkan Allahyarham Tok Guru adalah individu terbilang, ketokohan dan pemikirannya dipandang tinggi dalam dan luar negara.

“Namun Insya-Allah ia boleh berjaya, karya ini akan dipersembahkan secara unik dan dengan cara yang tidak pernah disentuh sebelum ini,” kata Sabri lagi.

Dokumentari Tok Guru Nik Aziz bakal diarahkan oleh Sabri selain beliau sendiri yang akan menulis skripnya. – MalaysiaGazette